PENGENALAN
1. Ekonomi MADANI yang diluncurkan pada 27 Julai 2023 merupakan kerangka utama ekonomi negara dalam jangka sederhana dengan tumpuan menstruktur semula ekonomi Malaysia ke arah aktiviti bernilai tambah tinggi, lebih berdaya saing dan lestari. Kerangka ini juga bertujuan untuk memastikan kemakmuran ekonomi yang diraih dapat diterjemahkan kepada peningkatan kualiti dan taraf hidup rakyat. Dasar ekonomi yang jelas dan pembaharuan awal telah menyumbang kepada momentum pertumbuhan ekonomi. Belanjawan 2025 menyasarkan untuk terus meningkatkan perkembangan positif ini dan memacu pembaharuan ke arah merealisasi hasrat Ekonomi MADANI.
2. Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 4.2% bagi suku pertama 2024, melepasi unjuran 3.9% oleh kebanyakan penganalisis ekonomi. Prestasi ekonomi negara adalah lebih baik berbanding negara-negara serantau seperti Korea (3.4%), Singapura (2.7%) dan Thailand (1.5%) bagi tempoh sama. Pertumbuhan kukuh ini didorong oleh pemulihan prestasi eksport, kerancakan aktiviti pelancongan dan permintaan domestik yang kekal mampan walaupun mendepani cabaran faktor luaran.
3. Bagi suku pertama 2024, jumlah perdagangan meningkat sebanyak 6.8% kepada RM690.5 bilion berbanding RM646.8 bilion pada suku pertama 2023, disokong oleh peningkatan eksport kasar sebanyak 2% kepada RM362.3 bilion dan import kasar sebanyak 12.5% kepada RM328.2 bilion. Hasilnya, lebihan dagangan mencatat RM34.1 bilion dalam tempoh tersebut. Eksport barangan dan perkhidmatan negara bagi suku pertama 2024 berkembang pada kadar 5.2% berbanding penguncupan 8.1% pada 2023. Pelaburan swasta mencatatkan pertumbuhan 9.2% pada suku pertama 2024 berbanding 4.7% pada suku pertama 2023, didorong oleh perbelanjaan modal berkaitan dengan infrastruktur, mesin dan peralatan serta aset lain. Sementara itu, jumlah pelaburan diluluskan adalah sebanyak RM83.7 bilion dengan pelaburan asing menyumbang RM47 bilion atau 56%, manakala baki RM36.7 bilion atau 44% adalah daripada pelaburan domestik.
4. Momentum pertumbuhan ekonomi tidak hanya melihat kepada prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) semata-mata. Bagi pasaran buruh, jumlah pekerja meningkat 2.1% kepada 16.4 juta orang yang menyebabkan kadar pengangguran rendah sebanyak 3.3%. Sementara momentum pertumbuhan ekonomi kekal positif, tekanan inflasi telah mereda dengan ketara. Kadar inflasi kekal rendah pada 1.8% bagi separuh pertama tahun 2024, menurun daripada 3.2% pada tempoh sama 2023.
5. Trajektori pertumbuhan dijangka meningkat pada suku kedua 2024, dengan anggaran awal pertumbuhan sebanyak 5.8%. Ini didorong oleh aktiviti ekonomi yang rancak dalam semua sektor, terutamanya sektor perkhidmatan. Permintaan domestik dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, khususnya perbelanjaan swasta berikutan bantuan kewangan di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pengeluaran daripada Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pertumbuhan suku kedua 2024 juga disumbang oleh sokongan dasar Kerajaan yang konsisten, terutamanya melalui inisiatif Ekonomi MADANI dan langkah Belanjawan 2024 yang dilaksanakan secara aktif sejak awal tahun. Kerajaan yakin Malaysia mampu mencapai pertumbuhan tahunan yang disasarkan antara 4.0% dan 5.0% pada 2024.
6. Daripada perspektif fiskal, Kerajaan kekal melaksanakan pelan konsolidasi fiskal bagi membina semula penampan dan daya tahan fiskal negara di samping terus menguruskan hutang dan liabiliti Kerajaan. Semasa pembentangan Belanjawan 2024, Kerajaan mengumumkan langkah-langkah hasil dan usaha mengoptimum perbelanjaan, terutamanya perbelanjaan subsidi yang beralih daripada secara pukal kepada bersasar. Sehubungan itu, Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 4.3%, berbanding 5.0% tahun 2023. Kerajaan komited ke arah konsolidasi fiskal untuk mencapai sekurang-kurangnya 3% defisit dalam jangka sederhana, pada masa yang sama memastikan dasar fiskal kekal menyokong pertumbuhan ekonomi.
7. Pelaksanaan konsolidasi fiskal secara berperingkat telah berjaya mengurangkan jumlah pinjaman bersih, sekali gus mengekang kadar pertumbuhan hutang. Kadar pertumbuhan hutang adalah sebanyak 8.6% bagi tahun 2023, iaitu lebih rendah berbanding 10.2% pada tahun 2022. Bagi tahun 2024, kadar pertumbuhan hutang diunjur menurun kepada sekitar 7% sejajar dengan pengurangan pinjaman bersih tahunan iaitu sekitar RM100 bilion setahun pada tahun 2021 dan 2022 kepada RM93 bilion pada tahun 2023 dan dianggarkan RM86 bilion pada tahun 2024. Strategi pinjaman akan terus mengutamakan terbitan pasaran domestik. Secara keseluruhan, Kerajaan akan terus memastikan pengurusan hutang yang berhemat bagi membiayai projek pembangunan yang menyokong pertumbuhan ekonomi.
8. Baru-baru ini, S&P Global Ratings dan Fitch Ratings telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A-/BBB+ dengan tinjauan ‘stabil’. Pencapaian ini dilihat amat memberangsangkan lebih-lebih lagi dalam persekitaran luaran semasa yang mencabar, ditambah pula dengan risiko konflik geopolitik yang kian meruncing. Pengekalan kredit berdaulat Malaysia dan prospek ekonomi yang positif oleh agensi penarafan menandakan keyakinan terhadap keberhasilan Kerajaan dalam menguruskan ekonomi secara berhemat dan komitmen terhadap agenda reformasi berpandukan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.
9. Kerangka Ekonomi MADANI menetapkan tujuh (7) penanda aras yang perlu dicapai dalam jangka sederhana. Susulan itu, beberapa dokumen dasar lain turut diperkenalkan sebagai cerminan yang menggambarkan aspirasi Ekonomi MADANI antaranya termasuklah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Begitu juga Belanjawan MADANI Kedua (2024) telah dirangka sebagai langkah awal ke arah merealisasi hasrat Ekonomi MADANI melalui langkah-langkah sosioekonomi dan reformasi fiskal yang dilaksanakan untuk tahun 2024. Belanjawan 2025 akan meneruskan kesinambungan usaha merealisasikan Ekonomi MADANI.
10. Kerangka Ekonomi MADANI digambarkan seperti berikut:
11. Kerangka ini meletakkan asas kepada enam nilai MADANI yang didukung Kerajaan iaitu: Kemampanan, Kesejahteraan, Nilai Hormat, Daya Cipta, Keyakinan dan Ihsan. Himpunan enam nilai MADANI berupaya membentuk asas binaan yang kukuh bagi agenda pembaharuan struktur negara Malaysia, kerana komponen ini amat diperlukan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang budaya, selain menyubur amalan tatakelola baik serta sistem penyampaian awam yang tangkas dan kolaboratif. Asas binaan ini kemudiannya akan menjadi bongkah yang membentuk wawasan serampang dua mata Ekonomi MADANI iaitu: "Menaikkan Siling" kedudukan ekonomi Malaysia, dan "Menaikkan Lantai" darjat hidup rakyat Malaysia.
12. Kerajaan terus memastikan semua rakyat — tanpa mengira status sosioekonomi, kedudukan geografi atau sebarang faktor lain — punyai peluang yang sama dalam pendidikan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi. Hasrat ini dan semua aspirasi Ekonomi MADANI akan menyokong visi Kerajaan untuk membolehkan mobiliti sosial dan secara kolektif mengembangkan kekayaan negara dengan mampan.
13. Belanjawan 2025 akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama kerangka Ekonomi MADANI iaitu:
- Menaikkan Siling: Teras ini bertujuan untuk menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan daya saing negara bagi meletakkan Malaysia menjadi peneraju ekonomi rantau Asia.
- Menaikkan Lantai: Teras ini bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dengan memastikan kesaksamaan peluang, taraf hidup yang baik dan perlindungan sosial untuk semua.
- Tatakelola Baik dan Reformasi Sektor Awam: Teras ini bertujuan untuk mengutama aspek ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti dalam Kerajaan, supaya matlamat yang digariskan Malaysia dapat dicapai.
MENAIKKAN SILING
14. Teras pertama iaitu “Menaikkan Siling” menekankan usaha pengukuhan ekonomi dan pengembangan kekayaan negara melalui langkah-langkah jangka pendek dan sederhana. Ia juga bertujuan menstruktur semula dan meningkatkan tahap ekonomi Malaysia melalui ikhtiar kerjasama serantau, peningkatan daya saing, tumpuan kepada kerumitan ekonomi serta mempertingkatkan rantaian nilai.
Destinasi Pelaburan Berdaya Saing dan Bertaraf Global
15. Melalui Belanjawan 2025, Kerajaan akan mengutamakan lamgkah-langkah yang menyumbang kepada peningkatan daya saing negara di peringkat global termasuklah penambahbaikan berterusan dalam aspek “kemudahan menjalankan perniagaan” supaya dapat menggalakkan pembukaan perniagaan baharu serta pengembangan pelaburan sedia ada. Laporan International Institute for Management Development (IMD) mengenai World Competitiveness Ranking yang terkini menggariskan beberapa ruang penambahbaikan yang memerlukan usaha jitu Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas khas diterajui bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Kewangan. Objektifnya adalah jelas iaitu untuk mencapai kedudukan 12 teratas dalam IMD World Competitiveness Ranking dalam jangka masa sederhana. Pasukan Petugas Khas ini akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi membangunkan sebuah perancangan terperinci dalam menangani sebarang cabaran serta merebut peluang mengangkat semula martabat Malaysia. Inisiatif ini akan merangkul seluruh kekuatan dan tenaga jentera Kerajaan bagi memacu penambahbaikan menyeluruh serta memastikan kemampanan pertumbuhan dan membawa Malaysia sebagai jaguh serantau.
16. Peluncuran NIMP 2030 menandakan peralihan ketara ke arah kerumitan ekonomi yang lebih besar dalam mempertingkatkan rantaian nilai. Belanjawan 2025 akan memangkin bidang yang diberi tumpuan dalam NIMP 2030, terutamanya melibatkan pelaburan dalam industri, tenaga mahir dan penggunaan teknologi yang dilihat mampu meningkatkan lagi tahap daya saing Malaysia selain menarik pelaburan bernilai dan berpertumbuhan tinggi (HGHV). Memangkin pelaburan sedemikian tentunya memerlukan sebuah formulasi insentif dan pembiayaan yang dapat menyokong pembangunan industri, memperkukuh jalinan domestik bagi menjana kekayaan melalui aktiviti pembuatan, mencipta pekerjaan bernilai tinggi, serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.
17. Belanjawan 2025 berhasrat menyokong usaha awal dalam penciptaan pemacu baharu pertumbuhan ekonomi, antaranya termasuklah bidang Pemerangkapan, Penggunaan Dan Penyimpanan Karbon (CCUS), kawasan perindustrian hijau serta rantaian nilai lebih tinggi dalam industri semikonduktor. Setakat ini, usaha pembangunan Kawasan Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), Lembah Teknologi Tinggi Automotif Malaysia (AHTV) Tanjung Malim dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ialah bukti komitmen Kerajaan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan memanfaatkan kekuatan dan peluang di seluruh negara.
18. Kerajaan melalui Belanjawan 2025 akan melengkapkan komitmen Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk merancakkan pelaburan dalam sektor domestik dengan komitmen pelaburan dengan tambahan RM440 bilion ke dalam pasaran modal domestik dan juga komitmen RM120 bilion ke dalam pelaburan domestik langsung termasuk modal teroka, yang akan disalukan dalam tempoh lima tahun akan datang. Pada masa yang sama, sejajar dengan tumpuan Ekonomi MADANI untuk “Menaikkan Lantai”, GLIC dan GLC akan meneruskan komitmen mereka terhadap penglibatan komuniti, memberi tumpuan kepada aktiviti berasaskan komuniti serta meningkatkan kebajikan tenaga kerja mereka.
Industri Berteraskan Digital dan Inovasi
19. Di bawah Belanjawan 2025, Kerajaan giat menggalakkan aktiviti daya cipta dan penggunaan teknologi supaya tahap persaingan di peringkat serantau dan global dapat ditingkatkan. Hal ini termasuklah penggunaan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin yang berupaya meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos serta menggalakkan pertumbuhan mampan merentas sektor. Kerajaan mengalu-alukan cadangan ke arah menyokong pendigitalan dan automasi oleh industri termasuk penggunaan AI seperti digariskan dalam Misi 2 NIMP 2030 dan kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan produktiviti dan mewujudkan peluang baharu pertumbuhan ekonomi. Tuntasnya, hasrat Malaysia adalah untuk muncul sebagai sebuah negara berdaya cipta, canggih serta mampan yang bersedia mendepani sebarang cabaran masa hadapan. Bekerjasama dengan sektor swasta serta merancakkan digitalisasi dan automasi bukan sahaja kunci kepada peningkatan daya saing dan produktiviti negara, malah ia juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kurang mahir.
20. Menyedari kepentingan inovasi digital dalam menjana peluang HGHV serta menggalakkan kerumitan ekonomi, Belanjawan 2025 merancang untuk meneroka kaedah terbaik yang dapat memberi keutamaan dan menyokong inisiatif inovatif dan disruptif. Kerajaan juga akan terus melabur dalam pengenalan dan penggunaan AI, keselamatan data serta perkhidmatan pengkomputeran awan untuk penyampaian perkhidmatan awam yang optimum.
21. Kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif strategik semasa Sidang Kemuncak KL20 2024 yang diadakan buat julung-julung kalinya; bertujuan untuk memperkukuh ekosistem pemula niaga di Malaysia di samping menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab pemula niaga global terulung menjelang 2030. Langkah-langkah utama termasuklah membawa masuk 12 syarikat modal teroka antarabangsa di Kuala Lumpur, memanfaatkan peluang di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN serta memperhalusi program pelaburan modal teroka negara dalam meningkatkan pertumbuhan syarikat pemula tempatan. Belanjawan 2025 akan memberi tumpuan kepada inisiatif memperkukuh ekosistem syarikat pemula dan memacu pelaksanaan aspirasi KL20.
Peneraju Ekonomi Islam Global
22. Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia 2024-2030 (MVCR) yang diluncurkan pada April tahun ini, menekankan komitmen Kerajaan untuk memajukan landskap modalteroka Islam (IVC) negara. Inisiatif strategik ini bertujuan untuk memudah cara pengembangan IVC di Malaysia dengan menyepadukan perkongsian berasaskan ekuiti (Mudarabah) dan pengaturan perkongsian untung (Musyarakah) ke dalam pelaburan modal teroka. Melalui penyelarasan usaha Kerajaan yang lebih luas dalam menarik pelabur dari negara majoriti Islam, pendekatan ini menggalakkan amalan kewangan yang beretika serta memupuk pertumbuhan syarikat pemula niaga yang berdaya cipta dan perusahaan berpertumbuhan tinggi dalam kerangka yang menegakkan nilai dan prinsip Islam. Pelan ini bukan sahaja bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam, malah turut memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui sokongan usaha niaga berpotensi tinggi.
23. Semasa peluncuran Global Forum on Islamic Economics & Finance (GFIEF) 2024, YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menekankan keperluan pembaharuan berasaskan nilai dan kerjasama dengan organisasi pelbagai hala dalam menarik pembiayaan sektor swasta. Selaras dengan inisiatif berterusan Kerajaan, komitmen RM100 juta di bawah Ekonomi MADANI diumumkan bagi memajukan pendayaciptaan dalam kewangan Islam. Ini termasuklah perkongsian strategik bagi melestarikan perniagaan halal dalam usaha menyokong peralihan ke arah amalan yang lebih hijau dan mampan serta pelaksanaan “Projek Hassan” untuk meningkatkan inisiatif zakat, sekali gus meningkatkan sosioekonomi golongan asnaf. Selain itu, Kerajaan sedang meneroka integrasi Maqasid Syariah ke dalam pembaharuan ekonomi serta kemajuan perdagangan dan inovasi wakaf serta memperkukuh model sosioekonomi yang berdaya tahan. Ke arah ini, Belanjawan 2025 akan menyokong usaha pemain utama Kewangan Islam untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai penggiat inovasi dan peneraju kewangan beretika dan pembangunan mampan.
Jaguh PMKS Serantau
24. Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyumbang hanya 38% kepada KDNK — walaupun membentuk 97.4% perniagaan dan menyediakan 48% pekerjaan di Malaysia. Bagi menangani ketidakseimbangan ini, Kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI berhasrat untuk memperkukuh semua skala perniagaan dengan menawarkan sokongan menyeluruh dari syarikat pemula sehingga pengusaha berupaya menembusi pasaran eksport, sekali gus membantu PMKS berkembang secara mampan dan memberi sumbangan lebih bermakna kepada kemakmuran ekonomi Malaysia. Kerajaan melalui Belanjawan 2025, akan merangka skim pembiayaan, termasuk dana di bawah Institusi Kewangan Pembangunan dan melalui pembiayaan bersama serta skim jaminan dengan kerjasama institusi kewangan swasta untuk mengukuhkan ekosistem pembiayaan dan memudahkan akses pembiayaan pada setiap peringkat pertumbuhan sesuatu syarikat, bermula dari peringkat awal hingga tersenarai.
Keterjaminan dan Kemampanan Ekonomi
25. Meraih manfaat Kepengerusian ASEAN 2025, Kerajaan akan memperkukuh usaha sama serantau dalam bidang-bidang utama seperti teknologi kewangan, keterangkuman kewangan dan kerjasama rentas sempadan bagi meningkatkan keselamatan serta menggalakkan perdagangan serantau. Inisiatif ini melibatkan penyertaan signifikan sektor swasta dan usahawan tempatan dalam mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka serta mengetengahkan komitmen Malaysia dalam memupuk inovasi dan pertumbuhan ekonomi. Matlamat Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 adalah untuk menghimpunkan perpaduan ASEAN, merapatkan jurang perbezaan dan menggalakkan keharmonian, yang akhirnya menjanjikan kemakmuran ekonomi untuk rantau ini.
26. Bagi meningkatkan tahap daya saing global, Kerajaan beriltizam untuk terus menzahirkan program pembangunan berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan telah menggesa kerjasama sektor swasta bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk manfaat masyarakat dan alam sekitar.
27. Kerajaan akan terus mempergiat usaha memastikan bekalan makanan yang mencukupi dan berpatutan melalui penekanan aspek inovasi dalam penanaman, peningkatan produktiviti dan kejuruteraan semula dalam semua aspek rantaian nilai agromakanan. Belanjawan 2025 akan menumpukan kepada langkah meminimum kesan perubahan iklim dan bencana alam yang berisiko menjejaskan rantaian bekalan supaya sasaran kadar sara diri (SSR) dapat dicapai dengan lebih pantas dan Kerajaan 28. Bagi mempercepat peralihan ke arah ekonomi hijau, NETR telah menggariskan beberapa keutamaan. Kerajaan mengiktiraf kepentingan CCUS sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi dan dalam usaha mencapai matlamat pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050. Kerajaan akan terus menyokong usaha peralihan tenaga melalui rangka kerja perundangan yang menggalakkan pelaburan di samping terus melindungi kepentingan awam.
29. Keselamatan negara kekal merupakan tumpuan bagi memelihara keamanan dan keharmonian Malaysia. Melihatkan kepada peri pentingnya soal keselamatan, perbelanjaan berkaitannya akan terus menerima peruntukan ketiga terbesar dalam Belanjawan 2025. Fokus utama termasuklah keselamatan dalam negeri dengan peruntukan tambahan kepada jabatan dan agensi penguat kuasa berkaitan supaya lebih siap siaga dalam melaksanakan sebarang operasi penguatkuasaan dan rondaan untuk membendung jenayah dan rasuah. Kerjasama strategik antara agensi akan dipertingkatkan bagi meningkatkan keberkesanan kepolisan terhadap potensi ancaman kepada keselamatan negara. Dalam ketidaktentuan dunia susulan ketegangan geopolitik yang memuncak.
30. Pertahanan negara turut terus diperkukuh bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan ketenteraan, selain komited mempertahankan wilayah kedautalan negara daripada sebarang pencerobohan yang menyalahi undang-undang dan menyekat aktiviti penyeludupan rentas sempadan. Belanjawan 2025 terus meneroka bidang yang dapat mengoptimumkan peruntukan belanjawan, menangani kelemahan proses perolehan serta menggalakkan pembangunan industri pertahanan domestik.
31. Kongres Ekonomi Bumiputera yang dianjurkan pada tahun ini juga selaras dengan matlamat Ekonomi MADANI, iaitu untuk menggalakkan kesetaraan dan keterangkuman peluang. Perbincangan Kongres termasuk cadangan untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam bidang baharu seperti peralihan tenaga, menangani isu keselamatan makanan dan transformasi digital. Belanjawan 2025 akan berusaha untuk memajukan pelaksanaan inisiatif yang telah diamanahkan semasa Kongres, termasuk memperkukuh pembangunan vendor Bumiputera, menyokong syarikat pemula Bumiputera, serta mengembangkan aset rizab Melayu dan wakaf.
32. Keunikan budaya dan kepelbagaian biodiversiti menjadikan Malaysia sebagai destinasi tumpuan pelancong yang menarik. Oleh itu, Belanjawan 2025 akan menggariskan langkah-langkah promosi dan tawaran unik pelancongan negara selain menambah baik kesalinghubungan destinasi pelancongan di samping memastikan limpahan ekonomi daripada aktiviti pelancongan turut memanfaatkan komuniti tempatan. Sebagai persediaan Tahun melawat Malaysia Tahun 2026, Belanjawan 2025 akan terus memudah cara urusan ketibaan pelancong, meningkatkan kesalinghubungan penerbangan dan menambah baik penawaran dan produk pelancongan.
33. Kejayaan dalam “Meningkatkan Siling” tidak hanya tentang meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau, meningkatkan pelaburan asing dan memacu pertumbuhan keseluruhan. Ia juga secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat Malaysia.
34. Seiring pertumbuhan ekonomi yang kian kukuh dan makmur, ia tentunya berupaya meningkatkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta pendapatan dan taraf hidup yang lebih baik buat seluruh lapisan masyarakat. Namun, Kerajaan menyedari bahawa pertumbuhan ekonomi sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kekayaan tersebut sampai dan dinikmati oleh setiap rakyat. Maka, ini mendorong Kerajaan untuk mengambil langkah proaktif di bawah teras “Menaikkan Lantai”dengan memastikan manfaat pertumbuhan yang diraih dapat dnikmati oleh setiap rakyat Malaysia, khususnya golongan miskin bandar dan mereka yang tinggal di desa.
MENAIKKAN LANTAI
35. Teras “Menaikkan Lantai” bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia dengan memastikan manfaat dan peluang yang saksama, taraf hidup yang lebih baik serta perlindungan sosial untuk rakyat. Teras “Menaikkan Lantai” melibatkan satu set langkah komprehensif dan polisi bersasar dalam Belanjawan 2025; untuk memperkasa golongan rentan, meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan, serta mewujudkan peluang pendapatan yang mampan. Dengan menangani cabaran asas ini, matlamat Kerajaan adalah untuk mengurangkan ketidaksamaan selain meningkatkan kesejahteraan rakyat seluruhnya.
Pekerjaan Bermakna dan Berpendapatan Tinggi
36. Kerajaan terus mempergiat usaha meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pewujudan peluang pekerjaan dengan pendapatan bermakna, bermula dengan sektor keutamaan di bawah NIMP 2030. Pengenalan dasar gaji progresif juga merupakan suatu langkah ke hadapan bagi menzahirkan hasrat ini. Dengan persekitaran kondusif yang berupaya memangkin pertumbuhan ekonomi di samping menggalakkan pembangunan kemahiran, kerangka Ekonomi MADANI beriltizam supaya setiap individu di Malaysia mempunyai potensi saksama untuk menikmati faedah daripada kemakmuran negara.
Keterangkuman dan Kesaksamaan Peluang
37. Selari dengan dua nilai teras MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan yang menggalakkan keterangkuman, Kerajaan bertekad untuk memastikan tiada sesiapapun yang dikesampingkan. Proses penggubalan Belanjawan 2025 akan menghimpunkan input-input daripada semua pihak berkepentingan, seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO). Proses ini adalah penting bagi memahami cabaran dan kesulitan yang dihadapi oleh pelbagai segmen rakyat berdasarkan tahap pendapatan, umur, lokasi, jantina, etnik, serta tahap kerentanan mereka. Kerajaan beriltizam untuk menyediakan peluang yang sama untuk semua rakyat, tanpa mengira latar belakang dan status, seperti komuniti Orang Asli, nelayan, pekebun kecil, petani, orang kelainan upaya (OKU), dan kumpulan rentan yang lain. Belanjawan 2025 bertujuan akan menguatkan komuniti OKU, terutamanya dalam aspek peluang pekerjaan dan keusahawanan.
38. Wanita memainkan peranan besar kepada masyarakat, termasuk sebagai ibu yang mengasuh anak dan menjaga kehidupan sebuah Keluarga. Walau bagaimanapun, wanita adalah lebih daripada itu dengan turut membuktikan kepintaran mereka apabila telah menyumbang kepada sebahagian besar graduan baharu. Bagi mengoptimumkan sumbangan wanita kepada ekonomi, Ekonomi MADANI telah menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh (FLPR) kepada 60% berbanding tahap semasa iaitu 56.2%. Ini adalah jurang yang perlu ditangani melalui reformasi pasaran buruh selalin memudah cara penyediaan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti dan berpatutan.
39. Ke arah merealisasikan hasrat ini, Kerajaan telah menyediakan pelepasan cukai untuk majikan yang mengambil wanita kembali bekerja selepas berehat daripada kerjaya, menyediakan pemadanan pekerjaan untuk wanita yang ingin Kembali bekerja serta membenarkan pengaturan kerja fleksibel (FWA) di tempat kerja bagi menarik dan mengekalkan bakat wanita dalam tenaga kerja. Di luar aspek pekerjaan, Kerajaan juga akan terus menggalakkan penglibatan wanita dalam kepimpinan korporat serta keusahawanan. Belanjawan 2025 akan membina berdasarkan komitmen Ekonomi MADANI iaitu untuk menyediakan peluang inklusif bagi meningkatkan penyertaan dan sumbangan wanita dalam ekonomi serta pembangunan negara.
Akses Sejagat kepada Perkhidmatan Pendidikan dan Kesihatan Berkualiti
40. Pendidikan ialah hak asasi setiap warganegara. Usaha telah dan akan terus dilaksanakan dalam memastikan persekitaran sekolah yang kondusif selain penyediaan kemudahan terbaik termasuk pembelajaran digital. Penekanan akan diberikan kepada kemahiran asas seperti membaca, menulis, mengira dan menaakul bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan.
41. TVET memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia dengan melengkapkan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan industri. Oleh itu, Belanjawan 2025 akan terus menggalakkan usaha sama yang lebih kukuh antara institusi TVET awam dengan industri dan majikan dalam menawarkan kursus TVET yang dapat menangani isu kekurangan bakat di samping menyediakan pendapatan yang lebih bermakna. Di samping itu, inisiaitf pembelajaran sepanjang hayat dalam semua jenis kemahiran yang ingin dipelajari, sama ada di universiti, institusi TVET atau melalui micro-credential akan turut diperkenalkan.
42. Kertas Putih Kertas Putih Kesihatan bagi Malaysia bertujuan untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan negara ke arah merealisasikan tahap kesihatan dan kesejahteraan hidup rakyat yang lebih baik. Ia menggariskan reformasi struktur yang komprehensif dengan sasaran supaya sistem kesihatan negara lebih saksama, mampan dan berdaya tahan. Belanjawan 2025 akan terus menyokong reformasi kesihatan, khususnya melibatkan transformasi penjagaan kesihatan primer bagi mendekatkan khidmat penjagaan kepada masyarakat selain meningkatkan fokus sistem kesihatan untuk beralih daripada merawat penyakit kepada pencegahan penyakit. Langkah sewajarnya juga akan dimulakan untuk meningkatkan kemampanan pembiayaan sistem penjagaan kesihatan awam di samping terus memperkukuh aspek tatakelola.
Kemudahan Asas Bertaraf Dunia
43. Di bawah Belanjawan 2025, Kerajaan akan terus melabur bagi meningkatkan pembangunan infrastruktur asas di bandar dan desa, terutamanya ke arah memastikan liputan penuh kepada utiliti asas khususnya akses jalan raya, bekalan air bersih terawat dan bekalan elektrik. Belanjawan 2025, mengalu-alukan pendayaciptaan terutamanya untuk mendekati penduduk pedalaman dengan pantas dan kos-efektif. Susulan jurang pembangunan komuniti di kawasan pedalaman dan keperluan untuk menangani isu sekolah dan klinik daif, peruntukan akan terus ditumpukan kepada pembangunan kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak.
44. Kerajaan akan terus menumpukan agenda kesalinghubungan jalur lebar negara dan penyediaan pakej internet mampu milik dan stabil supaya seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati pengalaman penggunaan teknologi digital yang optimum dalam bidang pendidikan, ekonomi serta masa lapang. Pada masa sama, Kerajaan akan memperkukuh dasar dan penguatkuasaan melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan khususnya di bidang keselamatan siber dalam menangani isu buli siber dan penipuan kewangan.
Perlindungan Sosial Untuk Semua
45. Dengan pertumbuhan ekonomi, keperluan sosioekonomi rakyat menjadi semakin kompleks. Maka, Kerajaan cenderung untuk menggalakkan aktiviti sosioekonomi diterajui dan dimiliki oleh komuniti. Belanjawan 2025 akan menyaksikan peluasan program seumpamanya seperti SejaTi MADANI bagi menggalakkan pemerkasaan komuniti dalam melaksanakan projek yang boleh memberi pendapatan tambahan selain dapat membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan komuniti tempatan. Belanjawan 2025 akan terus membela nasib golongan daif melalui penyelesaian mampan iaitu menyediakan peluang untuk mereka meningkatkan taraf hidup dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
46. Sebagai langkah pertama ke arah memastikan tiada yang ketinggalan dari segi perlindungan insurans sosial, Belanjawan 2025 akan turut menyokong penambahbaikan dan peluasan jaringan perlindungan keselamatan sosial untuk merangkumi semua kumpulan umur pekerja, termasuk pekerja kontrak perkhidmatan dan pekerja ekonomi gig seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah PERKESO. Kerajaan akan terus melindungi hak dan kebajikan pekerja gig, melalui cadangan tahun 2025, termasuklah menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig dan menggubal undang-undang serta dasar yang berkaitan.
47. Kerajaan bertekad untuk terus menyediakan bantuan sosial kepada rakyat yang memerlukan selain terus menyasarkan subsidi ke atas keperluan asas seperti elektrik dan bahan api. Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kekal disediakan bagi meringankan beban sara hidup rakyat. Selain itu, sistem perlindungan sosial juga perlu berkembang selaras dengan keperluan penduduk yang semakin menua.
48. Pada dasarnya, sementara “Menaikkan Siling” adalah penting untuk kemajuan dan daya saing ekonomi, cabaran utama Kerajaan adalah untuk memastikan teras “Menaikkan Lantai” turut diberi keutamaan. Komitmen berganda ini menggariskan kesungguhan Kerajaan terhadap pertumbuhan ekonomi yang terangkum dengan hasrat kemakmuran yang dicapai dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Semua Strategi ini akan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 dengan berasaskan nilai-nilai MADANI selain memerlukan kerjasama seluruh kekuatan dan tenaga warga Malaysia untuk menjayakannya. Rakyat, Kerajaan, industri dan NGO hendaklah berganding bahu serta menghayati nikmat perpaduan yang terbina, mengamalkan tatakelola baik dalam pentadbiran di samping mempermudah sistem penyampaian awam supaya tangkas dan kolaboratif.
REFORMASI SEKTOR AWAM
49. Dengan landskap ekonomi global kian berubah, kewangan awam perlu diperkukuh untuk terus memastikan kesejahteraan rakyat, menyokong pertumbuhan ekonomi dan] kemampanan fiskal dalam jangka panjang. Maka, Belanjawan 2025 akan meneruskan inisiatif pembaharuan fiskal untuk terus memperkukuh kedudukan fiskal Kerajaan ke arah memenuhi sasaran defisit fiskal 3% dan nisbah hutang kepada KDNK 60% dalam jangka sederhana, seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Di samping itu, Belanjawan 2025 juga akan melibatkan usaha mempercepat langkah konsolidasi fiskal, menambah baik pengurusan risiko fiskal serta mengurangkan beban hutang dalam jangka sederhana dan jangka panjang.
50. Hasil cukai Malaysia adalah pada kadar 12.6% kepada KDNK bagi tahun 2023, iaitu antara yang terendah di ASEAN. Sehubungan dengan itu, Belanjawan 2025 memerlukan langkah-langkah untuk meluaskan asas cukai, memastikan pelaksanaan sistem cukai yang progresif secara berterusan, mengurangkan ketirisan cukai serta meningkatkan pematuhan cukai. Sementara itu, Belanjawan 2025 juga akan memulakan langkah-langkah pengurusan perbelanjaan awam secara berkesan dan cekap ke arah menyokong aspirasi Ekonomi MADANI.
51. Sumber Kerajaan termasuk peruntukan belanjawan akan dioptimum dan diagihkan secara saksama, terutamanya buat rakyat paling memerlukan. Hal ini selari dengan pendekatan Kerajaan untuk menyasarkan subsidi bagi mengurangkan ketirisan dan pada masa sama meneruskan bantuan kepada rakyat memerlukan. Kerajaan terus mengamalkan tatakelola baik di samping menerapkan disiplin dalam pengurusan perbelanjaan termasuk mengukuhkan proses perolehan Kerajaan bagi meningkatkan keberhasilan dan nilai faedah terbaik. Tumpuan perbelanjaan untuk Belanjawan 2025 selari dengan pendekatan tahun 2023 dan 2024 iaitu melaksanakan projek yang paling diperlukan oleh komuniti iaitu sepertimana sebelum ini, membaiki tandas sekolah, menyelenggara jalan berlubang dan menaik taraf premis perniagaan (gerai) untuk usahawan mikro.
52. Selain itu, bagi mengembalikan status Malaysia sebagai destinasi tumpuan pelabur di rantau ini, Kerajaan kekal komited untuk menangani isu karenah birokrasi dan ketidakcekapan. Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan swasta bagi membiayai pembangunan infrastruktur awam utama melalui Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta (PPP), dengan pembaharuan akan dilaksanakan ke arah mencapai perkongsian risiko dan pulangan yang lebih efektif bersama sektor swasta bagi memberikan hasil yang lebih baik untuk perkhidmatan awam.
53. Belanjawan 2025 terus meneroka langkah-langkah menambah baik penyampaian perkhidmatan awam dengan menumpukan kepada keperluan rakyat termasuk komitmen meningkatkan tahap responsif dan keselamatan awam melalui kecanggihan teknologi dan digitalisasi. Hasrat ini termasuklah mengenal pasti bidang dan penyelesaian terbaik yang boleh dipertimbangkan dalam Belanjawan 2025 bagi mengurangkan karenah birokrasi dan hierarki, desentralisasi perkhidmatan serta memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kebolehcapaian, kecekapan dan keberkesanan.
54. Kerajaan akan terus merangkul seluruh kekuatan dan tenaga jentera Kerajaan merentasi sempadan organisasi bagi mencapai objektif bersama. Kerajaan beriltizam untuk menangani keperluan rakyat dan komuniti perniagaan dengan lebih baik di samping terus meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan memupuk semangat kerjasama ke arah memperkukuh penyelesaian secara bersepadu.
55. Sebagai sebahagian daripada pengukuhan tadbir urus dan institusi, Belanjawan 2025 akan merangkumi usaha reformasi Parlimen. Antara cadangan yang diperhalusi termasuklah memperluas peranan Dewan Rakyat dalam menilai prestasi cabang Eksekutif dan tanggungjawab badan-badan berkanun yang dibiayai oleh dana awam. Komitmen memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) mencerminkan tekad Kerajaan MADANI untuk memupuk demokrasi dan memberikan ruang yang luas kepada Parlimen sebagai badan semak dan imbang untuk dasar-dasar Kerajaan. Kerajaan akan terus menggubal undang-undang untuk mewujudkan akta tadbir urus yang menyeluruh dan memperkukuh usaha memerangi rasuah. Usaha lanjut akan menumpu kepada pembangunan instrumen integriti dan memperluas program kesedaran integriti di pelbagai peringkat Kerajaan dan komuniti.
PENUTUP
56. Berpandukan Ekonomi MADANI, Kerajaan telah memulakan penyusunan semula asas ekonomi Malaysia secara sistematik dan berperingkat. Ini bertujuan untuk merangsang pertumbuhan, menarik pelaburan berkualiti dan memperkukuh industri tempatan supaya lebih berdaya cipta dan berdaya saing. Semua ini adalah penting untuk mengangkat kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia. Pada masa yang sama, Kerajaan akan menumpukan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Ini merangkumi penyediaan perlindungan sosial untuk semua lapisan masyarakat, pekerjaan dengan gaji yang bermakna, serta langkah-langkah dan dasar yang dapat memastikan pembahagian kekayaan negara secara adil. Walaupun berhadapan pelbagai cabaran dalaman dan luaran, Kerajaan optimis bahawa Belanjawan 2025 akan membawa Malaysia selangkah lebih dekat kepada merealisasikan visi Ekonomi MADANI, melalui kerjasama seluruh rakyat Malaysia.
57. Kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 18 Oktober 2024. Kementerian Kewangan akan menyelaras penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dan orang awam untuk mendapatkan input belanjawan selaras dengan keutamaan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat. Kerajaan komited untuk menterjemah input diterima ke dalam Belanjawan 2025 terutamanya yang dapat menyokong kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta tatakelola yang lebih baik. Untuk sebarang maklum balas serta cadangan Belanjawan 2025, boleh disalurkan melalui Portal Belanjawan di laman sesawang https://belanjawan.mof.gov.my.
Kementerian Kewangan
30 Julai 2024
Muat turun: Kenyataan Prabelanjawan 2025