Kenyataan Prabelanjawan Menggariskan Tumpuan Kerajaan Untuk Mempercepatkan Reformasi Ekonomi MADANI Dalam Belanjawan 2025

Kenyataan Prabelanjawan Menggariskan Tumpuan Kerajaan Untuk Mempercepatkan Reformasi Ekonomi MADANI Dalam Belanjawan 2025

Kementerian Kewangan (MOF) hari ini telah menerbitkan Kenyataan Prabelanjawan (KPB) bagi Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober 2024.

Penerbitan KPB menepati amalan terbaik di peringkat global supaya dapat menggalakkan perbincangan awam mengenai Belanjawan Negara. Oleh itu, KPB diterbitkan dengan tujuan untuk menzahirkan keutamaan-keutamaan Kerajaan dalam Belanjawan 2025 kepada pihak berkepentingan, sebagai panduan bagi mengemukakan maklum balas dan cadangan untuk menggubal Belanjawan Negara.

“Kerajaan mengalu-alukan cadangan rakyat dan komuniti perniagaan untuk Belanjawan 2025, khususnya langkah yang dapat mempercepat pencapaian hasrat Ekonomi MADANI serta mempertingkatkan momentum pertumbuhan,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, semasa Sesi Dialog Prabelanjawan 2025 bersama penjawat awam di INTAN pagi tadi.

Ekonomi negara telah melalui peningkatan pertumbuhan yang amat memberangsangkan, iaitu daripada 2.9% (Suku Keempat 2023) kepada 4.2% (Suku Pertama 2024). Anggaran awal bagi Suku Kedua 2024 pula telah diunjur pada 5.8%.

Antara faktor yang menggalakkan pertumbuhan ini termasuklah pemulihan eksport yang mengembang sebanyak 5.2% (Suku Pertama 2024) berbanding penguncupan sebanyak 8.1% pada tahun 2023. Pertumbuhan pelaburan swasta pula mengukuh kepada 9.2% pada Suku Pertama 2024 berbanding 4.6% pada tahun 2023.

“MOF komited untuk terus memberi keutamaan terhadap reformasi fiskal dalam Belanjawan 2025, selari dengan sasaran jangka sederhana yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Pada masa sama, MOF juga akan memastikan dasar monetari kekal menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang diterajui oleh sektor swasta,” tambah YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah.

KPB menzahirkan tiga keutamaan jangka pendek di bawah Belanjawan 2025 bagi merealisasikan kerangka Ekonomi MADANI:

  1. Menaikkan siling (dari segi menstrukur semula ekonomi supaya lebih bernilai dan berdaya saing tinggi);
  2. Menaikkan lantai (menambah baik mutu kehidupan rakyat dan keterangkuman peluang); dan
  3. Memperkukuh tatakelola dan penyampaian perkhidmatan awam.

Lanjutan itu, KPB juga menetapkan tema Ekonomi MADANI: Negara Makmur, Rakyat Sejahtera sebagai panduan kepada proses konsultasi bagi Belanjawan 2025. Selari dengan prinsip MADANI, Kerajaan komited untuk memastikan proses penggubalan Belanjawan 2025 adalah holistik dan terangkum dengan mengalu-alukan maklum balas daripada semua pihak.

Proses penggubalan Belanjawan Negara telah bermula pada 9 Julai 2024 dengan Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Lebih 400 peserta mewakili agensi Kerajaan, sektor swasta, ahli ilmuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) telah hadir pada sesi libat urus tersebut. Ia akan disusuli dengan sesi-sesi libat urus di seluruh negara dalam masa terdekat.

Pada masa sama, orang awam boleh menghantar komen, maklum balas dan cadangan ke Portal Belanjawan 2025 di https://belanjawan.mof.gov.my.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
30 Julai 2024

Hubungi Kami

Kementerian Kewangan
No. 5 Persiaran Perdana, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62592 WP PUTRAJAYA