Program Jelajah Belanjawan 2025 bermula dengan Libat Urus Industri E&E Bersama YAB Perdana Menteri di Kulim Hi-Tech Park, Kedah

Program Jelajah Belanjawan 2025 bermula dengan Libat Urus Industri E&E Bersama YAB Perdana Menteri di Kulim Hi-Tech Park, Kedah

Kementerian Kewangan (MOF) hari ini telah memulakan siri Program Jelajah Belanjawan 2025 Peringkat Negeri dengan sesi libat urus bersama wakil industri elektrikal dan elektronik (E&E) yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Kulim Hi-Tech Park, Kedah. Kerajaan menganjurkan program ini bagi mendapatkan maklum balas dan saranan semua pihak berkepentingan agar penggubalan Belanjawan Negara adalah terangkum dan dapat mempercepat momentum pertumbuhan Malaysia.

Terdahulu, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, juga telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah fasiliti terbaharu Infineon Technologies AG di Kulim Hi-Tech Park. Sejurus selepas itu, beliau mempengerusikan Sesi Libat Urus yang menjadi acara kemuncak Program Jelajah Belanjawan 2025 Peringkat Negeri Kedah ini. Kalangan yang hadir mewakili industri elektrikal dan elektronik (E&E) menghadiri Sesi Libat Urus yang diadakan di SilTerra Malaysia Sdn Bhd untuk mengutarakan pendapat mereka bagi melancarkan lagi kemajuan industri yang kian memesat ini.

Sesi Libat Urus ini turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Tidak dinafikan bahawa Kulim Hi-Tech Park — dan negeri Kedah secara amnya — telah menjadi tumpuan bagi pemain-pemain industri E&E yang secara langsung merupakan salah satu enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia. Bagi memastikan Malaysia menggapai wawasan ‘Menaikkan Siling’ ekonomi negara, Kerajaan ingin memastikan industri E&E di Kedah dapat meningkatkan kedudukannya di rantaian nilai global dengan memperhebatkan lagi nilai tambah serta penyelidikan dan pembangunan (research and development; R&D),” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Industri E&E ini telah meningkatkan kepelbagaian sumber ekonomi Negeri Jelapang Padi Malaysia ini, dan sekaligus memberi lebih peluang pekerjaan bermakna kepada anak-anak Negeri Kedah. Kerajaan berharap industri ini akan menjadi salah satu tonggak utama untuk mencapai wawasan ‘Menaikkan Lantai’ kualiti hidup rakyat Negeri Kedah dalam jangka sederhana,” tambah beliau.

Siri Program Jelajah Belanjawan 2025 ini akan disusuli dengan hentian-hentian di serata negara dalam beberapa bulan akan datang. Ini termasuk Negeri-negeri Perak, Johor, Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat. Pada masa sama, orang awam boleh menghantar komen, maklum balas dan cadangan ke Portal Belanjawan 2025 di https://belanjawan.mof.gov.my.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
8 Ogos 2024

Hubungi Kami

Kementerian Kewangan
No. 5 Persiaran Perdana, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62592 WP PUTRAJAYA