Infografik Pembentangan Belanjawan 2027
“Belanjawan MADANI Kelima: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”
Muqaddimah
“Belanjawan MADANI Kelima: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” telah dibentangkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Berpaksikan lapan Lunas Utama, Belanjawan 2027 membawa Waad Nasional untuk membina ekonomi yang lebih kukuh dan terangkum, memperluas peluang rakyat serta memastikan hasil kemajuan negara kembali kepada kesejahteraan bersama.
Lunas 1: Menangani Kos Sara Hidup Rakyat
Belanjawan 2027 terus memberi keutamaan kepada usaha menangani tekanan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat.
Melalui Lunas 1, bantuan dan subsidi diperkukuh, beban cukai rakyat diringankan serta pembaharuan gaji dan perlindungan pekerja dipertingkatkan supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai dengan lebih menyeluruh.

Lunas 2: Mengutama Semua Negeri
Belanjawan 2027 menumpukan pembangunan yang lebih seimbang dan saksama antara negeri, berasaskan keperluan serta potensi setiap wilayah.
Melalui Lunas 2, pembangunan negeri diperkasa dengan penambahbaikan prasarana asas, perumahan, pengangkutan dan keterhubungan, di samping memperkukuh kemakmuran Sabah dan Sarawak serta merapatkan jurang pembangunan.

Lunas 3: Membela Nasib Semua Rakyat
Belanjawan 2027 memastikan tiada kelompok masyarakat yang dipinggirkan daripada arus pembangunan dan kemakmuran negara.
Melalui Lunas 3, usaha memperkasa ekonomi Bumiputera diteruskan di samping memperkukuh kebajikan warga emas, orang kurang upaya, Orang Asli dan kumpulan yang memerlukan sokongan, supaya setiap rakyat berpeluang menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.

Lunas 4: Mengangkat Mutu Perkhidmatan Rakyat
Belanjawan 2027 memperkukuh mutu perkhidmatan asas yang dekat dengan kehidupan rakyat, daripada kesihatan dan pendidikan hingga pengangkutan serta penyampaian perkhidmatan Kerajaan.
Melalui Lunas 4, kemudahan awam terus ditambah baik agar perkhidmatan kepada rakyat menjadi lebih cekap, mudah dicapai dan responsif terhadap keperluan semasa.

Lunas 5: Menjamin Bekalan dan Kesiapsiagaan Negara
Belanjawan 2027 memperkukuh daya tahan dan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran semasa serta ketidaktentuan global.
Melalui Lunas 5, keterjaminan tenaga dan makanan diperkasa, keselamatan dan pertahanan negara diperkukuh serta kesiapsiagaan menghadapi ancaman siber dan bencana terus ditingkatkan demi melindungi rakyat dan kepentingan negara.

Lunas 6: Memecah Siling Keupayaan Ekonomi
Belanjawan 2027 meneruskan usaha memecah siling keupayaan ekonomi negara dengan memperkukuh perusahaan tempatan, menarik pelaburan berkualiti dan membuka ruang pertumbuhan baharu.
Melalui Lunas 6, PMKS dan usahawan diperkasa, sektor bernilai tinggi dan ekonomi digital dipacu serta bakat anak muda dipersiapkan dengan kemahiran masa hadapan termasuk kecerdasan buatan.

Lunas 7: Memelihara Citra Nusa
Belanjawan 2027 memelihara dan mengangkat khazanah, identiti serta citra Malaysia agar terus dihargai oleh generasi hari ini dan masa hadapan.
Melalui Lunas 7, pemuliharaan alam sekitar, seni dan budaya, bahasa, industri kreatif, sukan, perpaduan, pelancongan serta syiar Islam terus diperkasa sebagai kekuatan yang membentuk jati diri dan daya tarikan negara.

Lunas 8: Menata Wang Rakyat dengan Amanah
Belanjawan 2027 meneruskan agenda reformasi bagi memastikan wang rakyat diurus dengan amanah, telus dan bertanggungjawab.
Melalui Lunas 8, tatakelola dan pengurusan kewangan awam terus diperkukuh, ketelusan perolehan dipertingkatkan serta disiplin fiskal diteruskan supaya setiap hasil dan perbelanjaan negara dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk kepentingan rakyat.

